Wednesday, July 15, 2009

Keikhlasan sebuah persahabatan

Aku terpandang seutas jam tangan wanita tatkala aku membuka laciku. Ia kelihatan masih cantik walau telah lama terbaring kaku.Telah lama tidak diusik dan apatah lagi dipakai. Pasti ia merindui tangan-tangan yang pernah dihiasinya,menjadikan si pemakainya tersenyum bangga.

Ku belek jam tersebut.Ah sayangnya ia sudah tidak bernadi.Mungkinkah sudah kehabisan baterinya.Kotak fikiran diterjah kenangan lama,kenangan yang menjadikan aku kagum akan keihklasan dan kesungguhan insan yang digelar sahabat.

Ketika itu,aku dalam perjalanan pulang dari tanah suci.Seluruh tubuh terasa lemah, tiada upaya.Kesayuan di lubuk hati menjadikan aku ingin menyendiri.Ditambah dengan kepulanganku seorang diri.

Aku bersyukur kerana barisan tempat dudukku kosong. Barang-barang kuletakkan di sisi,dan mula melelapkan mata setelah kapal terbang yang kunaiki meninggalkan permukaan bumi.Hilang dibuai mimpi,sehinggalah terasa aku dikejutkan.barang-barangku diminta agar dialihkan oleh si pramugari,kerana ada penumpang lain yang menaiki kapal terbang semasa transit,yang aku sendiri tak pasti di mana.Sekali imbas,kulihat pasangan Arab muda memenuhi tempat duduk disebelahku.

Sesudah aku mengalihkan baranganku,aku terus dibuai mimpi.Badan yang letih menagih kerehatan dariku.Kali kedua aku dikejutkan,tibanya masa untuk makan.Aku sekadar mengambil hidangan yang dihulurkan dan menyambung semula tidurku. Mujur aku terjaga sebelum hidangan diambil,jika tidak pasti aku berputih mata.

Sejam sebelum tiba di lapangan,aku disapa oleh lelaki Arab disebelah.Bertanya cara terbaik untuk ke KLIA.Aku menerangkan satu persatu,agar ia tidak terkeliru. Dari situ,perbualan kami semakin rancak,dari satu topik ke satu topik kami bercerita.Sekali sekala disampuk si isteri jelita.Terbetik juga dihatiku,alangkah bertuahnya lelaki ini.

Di penghujung perjalan kami,si lelaki bertanya,adakah aku bekerja di Arab Saudi.Aku menggelangkan kepala,dan menjelaskan kepadanya.Si lelaki tersenyum lebar kegembiraan,mendengarkan aku baru pulang dari tanah suci.Tahniah diucapkan,pujian dihamburkan.

Aku melihat lelaki itu kalut mencari sesuatu di beg yang dipangku.Aku sedikit hairan,namun aku hanya mendiamkan diri. "Mungkin ia tertinggal sesuatu."bisik hatiku

Tidak lama selepas itu,dia mengeluarkan sebotol perfume dan menyerahkan kepadaku.Aku sedikit hairan. Dia memintaku mengambilnya sebagai hadiah perkenalan,juga sebagai hadiah kerana baru pulang dari menunaikan umrah.Berkali-kali dia memohon maaf kerana itu sahaja yang dapat diberi,ditambah lagi perfume miliknya itu telah diguna.Berkali-kali ku didesak,agar menerima pemberian yang tak seberapa.

Aku bertambah gelisah,bila si isteri turut memberi.Jam tangan miliknya dihulurkan kepadaku.Aku terkaku."Terimalah ia sebagai tanda penghormatan kami.Simpanlah ia dan berikanlah kepada bakal isteri."Katanya sambil mengunjukkan jam itu.

Aku serba salah.Jam itu kelihatan indah,secantik pemiliknya.Dan aku tidak memerlukan jam untuk wanita,mana bisa aku memakainya.Perkataan itu diulangi.Aku menerimanya dengan hati yang berat,hanya ucapan terima kasih sebagai bayarannya.

Kami berpisah sesudah aku mencarikan teksi buatnya.Aku melambaikan tangan tanda perpisahan.Semoga Allah mempertemukan kita di lain hari.Walau sekejap kita berjumpa,terasa timbul kemesraan di hati.

Aku meletakan semula jam yang puas kubelek.InsyaAllah akan aku tunaikan amanahnya.Segaris senyuman terukir di bibir.
"Siapakah bakal memiliki jam ini"

2 comments:

  1. haaa i ade idea. ape kate bg i. i kan adik perempuan u. weee i nk!

    ReplyDelete
  2. U nak ke?mana bley,ni untuk my future wife je...Lain dari tu,sorryyyyy...

    ReplyDelete