Monday, March 1, 2010

Keliru

Huhhh...Satu keluhan berat..buat yang kesekian kalinya...Aku bingung dengan diri ini.Tidak mengerti apa yang ku kejarkan, apa yang kumahukan...Adakah ini tanda aku bukan seorang hamba yang bersyukur.

Aku telah miliki apa yang ku kehendaki.Isteri,kediaman dan projek yang aku mahukan selama ini.Tapi hati ini masih gelisah,keliru dan celaru.Aku kian malas untuk melangkah menghadapi masa depan.Adakah aku telah berputus asa...putus asa hasil usaha 5 bulan menjadi debu..."tapi itu bukan yang terbaik buatku",kerap kuulangi kata2 ini bagi memujuk diri.Tapi aku masih gagal mencari diri yang kuat dan teguh dalam menghadapi cabaran hidup.Aku bukanlah syarif yang dahulu,aku semakin lemah dan layu...Aku gagal mencari punca kelemahan ini.DI manakah jati diri yang telah kubina sekian lama,musnah dan pudar dalam sekelip mata hasil kegagalan yang sedikit...Adakah ini satu tamparan buatku,yang jarang sekali menghadapi kegagalan?Itu satu pendustaan,aku sering gagal,namun aku bingkas berdiri setiap kali aku terjatuh...hanya kali ini,kakiku terasa lesu untuk bangun seperti selalunya...

Ya Allah,adakah sudah lari niatku...dalam mencari redha dan rahmatMu,yang menyebabkan aku menjadi selemah2 insan yang melata di muka bumi ini.Ya Allah,aku memohon kekuatan dariMu...Aku semakin lemah wahai Penciptaku,bantulah ciptaanMu ini,dari kelalaian,kelemahan.

Bukan aku tidak yakin dengan qada' dan qadar mu,cuma aku tidak mampu berdiri segagah dulu...aku sendiri tidak mengerti wahai Penciptaku...Aku hanya dapat meluahkan di ruangan yang terhad ini,melepaskan bebanan di hati...mudah2an luahan bebanan ini mampu meringankan tanggungan kakiku yang kian tepok ini...Bantulah diri hambaMu ini wahai Allah

Friday, January 29, 2010

Aduka

Heboh seMalaysia!Hanya itu dapat kukatakan. Tahniah buat aduka,ko memang telah berjaya,mengharumkan namamu dipersada negara.

Aku terfikir,motif tujuan dan perjuangan yang Aduka nyatakan.Melalui fikiranku yang dangkal dan cetek ini,jelas nyata itu satu perjuangan yang hanya untuk kepentingan dirinya.Malah aku rasakan,kau sendiri belum cukup mengenal erti perjuangan,hanya melaung dan melolong bagi mencari dan mendapatkan perhatian dan sokongan. Mungkin ada betulnya sebahagian kata-kata kau, tp ingat,cara perjuangan yang sebenarnya.

Rasulullah turut berjuang,dan lihat cara dan pendekatan perjuangan beliau.Sabar,lemah lembut dan sopan santun.Bukan lentingan dan kejian nista seperti yang cuba kau lakukan. Laungan menerusi akal yang cetek,hanya menimbulkan kebencian,menghasilkan kemarahan dan menyebabkan perpecahan. Adakah ini yang kau mahukan???

Kita sepatutnya bersatu,bukan berpecah menjadi kumpulan yang lebih minoriti.Ingatlah Aduka,berkata menggunakan akal,jangan bertindak mengikut nafsu dan kemahuan.

Aku mendoakan semoga Aduka dan yang seangkatan dengannya,berfikir sebelum bertindak, jangan memburukkan lagi keadaan yang telah sedia tidak stabil ini.

Thursday, January 28, 2010

Kemunafikan diri

Hari berlalu lesu,membeku jiwa yang sedia layu. Adakalanya aku bingung memikirkan. Aku sering menasihati dan berkongsi kata dan pandangan. Namun bila tiba masa aku diuji,kegusaran dan kerisauan yang menyerbu menyebabkan kata-kata yang sering diluahkan, nasihat yang sering disampaikan tidak terkesan di hati ini.

Terlalu takut aku memikirkannya. Munafikkah diri ini?atau kepercayaan dan keyakinan ku padaNya hanya di kala aku senang. Teringat kisah seorang sahabat Rasulullah, pada suatu ketika dia disapa oleh Saidina Abu Bakar r.a. Bila ditanya keadaannya oleh Saidina Abu Bakar r.a, beliau menjawap telah munafik akan dirinya. Abu Bakar yang kehairanan lantas bertanya kerana kenal sahabat ini merupakan salah seorang yang sering meriwayat hadis Rasulullah.

Jawap si sahabat"Bagaimana tidak aku rasakan diriku munafik, tatkala aku di majlis ilmu bersama Rasulullah dan para sahabat, aku merasa sedih, takut dan gerun kepadaNya. Namun,sesudah aku pulang bertemu isteri dan anak-anak di rumah, perasaan sedih, gerun dan takut itu berkurangan. Bukankah aku bersifat munafik dengan demikian itu"

Jika para sahabat yang sering berlumba untuk beramal merasakan dirinya munafik di atas perasaan yang sedikit itu, bagaimana pula dengan diriku ini. Aku merasakan adakalanya aku seolah-olah mempermainkanMu. Di waktu aku senang,aku mengucap syukur dan bergembira di atas pemberianMu. Adakalnya diri ini terus lalai dalam mensyukuri nikmatMu. Dan di waktu sukar ini, aku sering mengeluh, menuding jari mencari kesalahan bagaikan lupa semua kejadian adalah ketentuannya. Tidak munafikkah namanya itu. Adakalanya, di waktu sukar ini, baru aku mula kembali kepadanya, mula melipatgandakan amalan yang sememangnya sedikit mengharapkan bantuan dan petunjuk darinya. Bersolat sunat tidak putus bagai tiada hari esok.

Ya Allah,sesungguhnya hambaMu yang lemah ini telah bersifat munafik,tanpa disedari. Ampunilah diri ini wahai Tuhanku, sesungguhnya hanya keampunan dan keredhaanMu yang kudamba. Ya Allah,tetapkan keyakinan dan keteguhan diri ini dalam memegang taliMu,walau dimana dan pada apa jua ketika.Janganlah jadikan kami umat Muhammad s.a.w sebagai umat yang munafik,yang memperlekeh kepercayaan dan keyakinan buatMu.
Bantulah kami untuk bangun dari mimpi-mimpi indah yang hanya tipu daya semata ini.

Amin...amin...amin ya Rabbal a'lamin

Tuesday, January 19, 2010

Kesunyian yang terasa

Kesunyian kian terasa,malam yang dingin menambahkan kekosongan ini. Walau baru seketika aku berpisah dengannya,kehilangan telah terasa. Hari yang berlalu,terasa berdetik lesu.Kudambakan keceriaan dan senyum tawanya,yang menjadi penyeri.

Ah,sebulan dua bukanlah tempoh yang lama,namun asakan rindu dan lambungan perasaan membuatkan ia begitu terasa. Saban hari kuberharap,biarlah saatnya kembali ke sisiku tiba lantas mengisi kekosongan dan kesunyian yang melanda.

Semoga Allah memberikanku kekuatan,dalam menghadapi kesunyian ini.

Friday, November 13, 2009

Perasaan ini...

Aku mengeluh,ingin saja kumelepaskan perasaan yang membuku dihati.Namun kepada siapa harus kulepaskan.Dan kenapa ia perlu dilepaskan.Serta mengapakah perasaan ini terasa membara.

Malam yang dingin tidak terasa.Hati ini terasa panas,dilanda amukan emosi.Berpunca dari...ah aku sendiri tidak mengerti.Akhir-akhir ini,perasaan ini kerap terganggu.Terlalu sensitifkah aku?Atau adakah dek bebanan kerja yang menjadikan aku begini.

Aku keliru,fikikran semakin bercelaru.Tiada siapa yang dapat memahamiku.Namun aku perlu berbicara, meluahkan segala yang terbuku di dada.Siapakah yang sudi mendengarnya?Terasa bodoh bagi menjawap persoalan ini,kerana aku pasti,ia tidak perlu ku jawap.

Bantuan!!Di manakah aku boleh mendapatkan bantuan,bagi meredakan amukan perasaan ini.Bukan aku menghendakinya,ia hadir tanpa ku pinta.Terasa sesak ruangan hati,begitu sukar aku mengharungi.Perlukah aku berdiam diri,bagi mengubati hati ini.

Semoga Allah sentiasa membimbing hati ini.

Thursday, October 29, 2009

Di kejauhan ini...

Rindu sudah jari jemari ini,
untuk menari-nari menitip kata-kata diruangan ini.
Begitu lama ruangan ini ditinggal sepi, tanpa bicara dan luahan rasa.
Kesibukan diri memaksa untuk aku,berhnti seketika dalam
berbicara.

Hari ini genap 4 minggu aku berada di sini,
namun tiada hasil yang pasti.
Aku masih tercari-cari,
terkial-kial dalam menelusuri hidup sang ilmuwan,
yang menagih masa dan tenaga,
yang tinggi harganya.
Bukan tidak aku berusaha,cuma Sang Pencipta masih tidak membenarkan,
aku mendakap sekelumit ilmu milikNya,
aku yakin pasti usahaku masih setimpal,
dengan apa yang aku kejarkan.

Tuhanku,bantulah diri ini,
dalam menyusuri jalan-jalanMu,
hanya kepadamu aku meminta segalanya.
Anugerahkan kami ilmuMu dari gudangMu yang Maha Luas.

Sunday, October 4, 2009

Hukum Membaca Ramalan Zodiak

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam,"
katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.

Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan. Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.

Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.

Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi.Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.

Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang dilangit.

Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.

Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan. ..